PETALING JAYA – Keberanian seorang lelaki yang merampas senjata daripada penyerang dalam insiden tembakan di Pantai Bondi, Australia pada 14 Disember lalu menerima penghargaan luar biasa apabila orang ramai menyumbang sebanyak AS$2.5 juta (RM10.5 juta).
Ahmed al Ahmed, yang bertindak berani melawan salah seorang daripada dua lelaki bersenjata api dalam kejadian di pantai pelancongan yang lalu menerima sumbangan dana sebagai tanda penghargaan dari orang ramai.
Menerusi perkongsian di Instagram oleh @mdmotivator, dia turut hadir ke hospital bagi menemui Ahmed untuk menyampaikan sumbangan tersebut.
“43,000 orang memberikan sumbangan kepada awak sebanyak AS$2.5 juta (RM10.5 juta),” katanya.
Dalam perkongsian tersebut, Ahmed turut berkata tindakannya bukan untuk meraih pujian atau ganjaran, sebaliknya dilakukan atas keikhlasan hati demi menyelamatkan nyawa.
“Kita perlu berdiri demi semua orang dan lupakan semua kisah yang telah berlaku di belakang. Kita perlu sentiasa menyelamatkan nyawa. Apabila saya menyelamatkan nyawa orang, saya lakukannya dari hati,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan insiden tembakan itu diisytiharkan sebagai serangan pengganas yang dilakukan untuk menyasarkan komuniti Yahudi Sydney pada hari pertaman sambutan perayaan Hanukkah. – KOSMO! ONLINE














