PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengumumkan tiada pengenaan penalti sepanjang tahun pertama pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) Fasa 1 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
LHDN dalam satu kenyataan memaklumkan, konsesi khas itu melibatkan surat cara yang disetemkan di bawah STSDS bagi kesalahan mengemukakan Borang Nyata Duti Setem atau pemberian maklumat yang tidak tepat berkaitan perkara yang memberi kesan kepada pengenaan duti.
Menurut kenyataan itu, tempoh konsesi khas tanpa penalti berkenaan terpakai bagi permohonan penyeteman yang dikemukakan mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2026.
“Langkah ini dilaksanakan sebagai pendekatan pendidikan dan sokongan peralihan untuk memupuk kesedaran serta menggalakkan pematuhan secara sukarela dalam kalangan pembayar duti,” katanya.
Tambahnya, tempoh berkenaan turut memberi ruang mencukupi kepada pembayar duti memahami prosedur ditetapkan serta melaksanakan penyeteman sendiri secara elektronik dengan lebih berkesan.
Dalam masa sama, konsesi khas tersebut turut terpakai bagi sebarang kesalahan di bawah Subseksyen 72D(2) Akta Setem 1949 yang dikenal pasti menerusi penemuan audit sepanjang tempoh konsesi berkenaan.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan STSDS, LHDN memaklumkan Sistem e-Duti Setem telah dibuka untuk akses awal melalui portal MyTax bagi membolehkan pembayar duti menjalankan pengujian serta membuat persediaan sewajarnya.
Orang ramai yang menghadapi sebarang masalah berkaitan pelaksanaan sistem itu boleh menghubungi Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000, menggunakan perkhidmatan Hasil Live Chat atau mengemukakan maklum balas menerusi portal rasmi LHDN.- KOSMO! ONLINE














