PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial Ryzal Ibrahim menegur sikap segelintir selebriti yang gemar membuka aib rumah tangga dalam media sosial supaya mencontohi kematangan aktres Erra Fazira dalam menjaga maruah peribadi.
Ujar Ryzal atau nama sebenarnya Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, 33, konflik rumah tangga bukan isu luar biasa, namun cara mengendalikannya menentukan nilai diri seseorang, lebih-lebih lagi buat figura awam.
“Ramai sekarang berdepan masalah rumah tangga, terutama rakan selebriti. Kawan-kawan saya pun ada melalui fasa sama. Bila diselidik, setiap satu ada sebab tersendiri.
“Kami sendiri tak lari daripada bergaduh. Itu biasa. Cuma jangan sampai buka aib. Perkara dalaman rumah tangga biarlah kekal dalam rumah.
“Ambil contoh idola kami, Kak Erra Fazira. Orang mungkin kata beberapa kali berkahwin, bukan soal gagal, mungkin tiada jodoh. Tapi adakah kita tahu masalah sebenar beliau? Tidak. Itulah contoh paling matang,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Ryzal, sikap membuka aib ketika emosi memuncak hanya mengundang kerugian jangka panjang.
Malah, tindakan mendedahkan keburukan pasangan sama seperti mengkhianati insan paling dekat dalam hidup.
“Bila bergaduh, simpan. Tak perlu dedah. Tak ada kebaikan pun.
“Mungkin dapat tawaran kerja setahun dua, tapi masyarakat akan ingat kita sebagai pembuka aib sampai bila-bila.
“Itu pasangan kita, ibu atau ayah kepada anak-anak, orang tidur sebantal dan tahu kelemahan kita. Takkan sanggup dedahkan aib sendiri? Itu tak matang,” jelasnya.
Bapa satu anak itu juga menekankan peranan sokongan emosi antara suami isteri melebihi soal kewangan semata-mata.
“Mengatasi masalah rumah tangga bukan soal duit. Suami berperanan sebagai pembuat keputusan, isteri pula sistem sokongan. Hubungan itu dibina atas sokongan, bukan angka.
“Kalau soal harta, ramai boleh pilih orang kaya walau bersikap buruk. Tapi lelaki baik walaupun susah tetap dipilih sebab ada sokongan dan kepercayaan,” luahnya
Ryzal turut mengingatkan, apabila aib dibuka, rasa hormat akan terhakis, seterusnya memadam kasih sayang sedikit demi sedikit.
“Bila seorang mula dedah aib, hormat akan hilang. Dari situ, rasa sayang turut pudar.
“Nasihat saya, simpan masalah dalam rumah tangga. Jangan kongsi dengan media, malah ahli keluarga sekali pun kalau boleh elakkan. Kalau berpisah, berpisahlah secara baik tanpa buka aib sesiapa,” tuturnya.
Sebelum ini, beberapa selebriti tempatan berdepan konflik rumah tangga sehingga menjadi perhatian umum, antaranya Kamal Adli dan Uqasha Senrose, selain Linda Hashim dan Beego, sekali gus membuka perbincangan luas mengenai cabaran sebenar kehidupan berumah tangga di sebalik dunia glamor.
Dalam perkembangan lain, Ryzal bersama isterinya, Maryam You Narae, melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila restoran K Garden Korean BBQ milik mereka rasmi menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut pasangan tersebut, pensijilan halal tersebut menjadi bukti komitmen mereka dalam memastikan setiap aspek operasi restoran mematuhi piawaian halal tertinggi.
“Pensijilan halal rasmi ini satu kejayaan besar buat kami. Semua ini melambangkan komitmen penuh K Garden dalam menjaga integriti halal, sekali gus memberi keyakinan tambahan kepada pelanggan setia.
“Kami amat berterima kasih kepada pihak JAKIM kerana banyak membantu dan membimbing kami dari awal hingga sijil ini diperoleh,” ujarnya.
K Garden sinonim sebagai restoran barbeku Korea mesra Muslim, menawarkan resipi autentik Korea hasil sentuhan peribadi Maryam, disesuaikan dengan cita rasa tempatan tanpa menjejaskan keaslian budaya Korea. – KOSMO! ONLINE.














