fbpx
Gambar hiasan.

Peniaga rugi RM496,899 kena tipu iklan kerja di Facebook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM496,899 selepas terperdaya dengan penipuan tawaran kerja sambilan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 28 Ogos lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berumur 61 tahun terperdaya dengan satu iklan kerja sambilan di aplikasi Facebook.

Katanya, mangsa seterusnya dihubungi oleh suspek yang menyamar sebagai wakil sebuah platform e-dagang serta diberikan satu pautan palsu bagi tujuan pendaftaran akaun penjual.

“Melalui platform tersebut mangsa diarahkan menjalankan aktiviti kerja sambilan dengan memilih beberapa jenis produk yang kononnya boleh dijual ke pasaran Eropah.

“Mangsa dimaklumkan bahawa kos barangan perlu ditanggung terlebih dahulu dan komisen keuntungan sebanyak 30 peratus akan diberikan bagi setiap produk setelah barangan berjaya dihantar kepada pelanggan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, mangsa kemudiannya telah membuat beberapa transaksi pembayaran berperingkat ke akaun suspek bagi tujuan pembelian barangan.

Beliau memberitahu jumlah keseluruhan wang yang telah dimasukkan adalah sebanyak RM505,202.71 dan pada peringkat awal, mangsa telah menerima keuntungan sebanyak RM8,303.65 melalui tiga transaksi.

“Mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan berterusan kononnya bagi tujuan yuran dan melengkapkan proses pelepasan dana sebelum keuntungan boleh diterima. Namun selepas bayaran dibuat, keuntungan seterusnya gagal diterima dan dana tidak dilepaskan,” katanya.

Tambahnya, mangsa mengesyaki telah diperdaya oleh sindiket penipuan sebelum membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM496,899.06 melibatkan wang simpanan dan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN