SEBERANG PERAI – Penilaian dan pelaksanaan manifesto Kerajaan Madani menjadi tumpuan utama dalam program pemukiman Jemaah Menteri yang dijadualkan berlangsung selama dua hari, Januari depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemukiman pada 11 hingga 12 Januari itu akan melibatkan menteri, timbalan menteri serta kepimpinan parti Kerajaan Perpaduan.
“Program terbabit bertujuan menghimpunkan pimpinan bagi menilai prestasi kerajaan setengah penggal selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan. Ia mungkin berbeza mengikut parti, namun fokus kami adalah persamaan seperti kos sara hidup, isu pengangguran, pendidikan dan keselamatan.
“Daripada persamaan ini, kami menilai sejauh mana ia telah dilaksanakan serta mengenal pasti perbezaan yang perlu ditangani agar semua dapat direalisasikan,” katanya dalam ucapan perasmian pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-17 Parti Makkal Sakti di Seberang Jaya di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berpandangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) wajar diperkenalkan semula supaya rakyat mendapat peruntukan lebih adil tanpa mengira status ekonomi mereka. – KOSMO! ONLINE














