BALING – Lelaki berusia 21 tahun yang disyaki menikam mati nenek dan menetak moyangnya hingga cedera di sebuah rumah di Kampung Baru Bakai, di sini pada 16 Disember lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Sungai Petani, esok.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, pihaknya telah mengemukakan kertas siasatan kes itu kepada pihak pendakwaan pada hari ini untuk mendapatkan arahan selanjutnya.
“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 kanun sama atas kesalahan cubaan membunuh.
“Lelaki tempatan itu akan dibawa ke muka pengadilan di Mahkamah Sungai Petani pada esok,” katanya di sini, hari ini.
Beliau pada masa sama menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni selain memberi jaminan proses siasatan dilaksanakan secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang pemuda bertindak di luar batasan apabila sanggup menikam mati nenek dan menetak moyangnya hingga cedera dalam kejadian di Kampung Baru Bakai pada 16 Disember lalu.
Suspek yang didakwa orang kurang upaya intelektual dipercayai mengamuk sebelum menyerang dua wanita berusia 65 dan 80 tahun dengan senjata tajam. – KOSMO! ONLINE














