fbpx
Rumah-rumah yang rosak akibat banjir terbiar di Aceh Tamiang, 13 Disember lalu. - AFP

Mangsa banjir Sumatera bakal terima elaun RM2.40 sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Mangsa banjir pulau Sumatera akan menerima bantuan pemerintah termasuk elaun sara hidup harian, bantuan ganti rugi isi rumah dan pampasan untuk ahli keluarga yang terkorban dalam bencana yang telah meragut lebih 1,000 nyawa di tiga wilayah itu, lapor saluran berita Channel News Asia (CNA).

Menteri Hal Ehwal Sosial, Saifullah Yusuf berkata, pemerintah sedang mempertimbangkan skim elaun sara hidup harian untuk mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

“Sebaik sahaja terdapat perumahan sementara atau perumahan tetap (tersedia untuk mereka), mereka akan menrima elaun sara hidup yang disediakan selama tiga bulan.

“Setiap individu dalam setiap keluarga akan menerima bantuan kewangan sebanyak 10,000 rupiah (RM2.40) sehari,” kata Saifullah seperti dipetik laman berita Detik.

“Elaun sara hidup adalah 10,000 rupiah untuk setiap individu. Contohnya, sebuah keluarga yang terdiri daripada lima orang akan menerima 50,000 rupiah (RM12.20) setiap hari selama tiga bulan,” tambahnya.

Beliau menambah, jumlah elaun yang dicadangkan masih dalam perbincangan dengan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Hal Ehwal Kebudayaan, Pratikno bagi memastikan ia memenuhi taraf hidup semasa.

Selain itu, pemerintah juga merancang untuk mengagihkan 3 juta rupiah (RM730) untuk membantu isi rumah yang terjejas membeli dan menggantikan perabot serta barang keperluan lain yang rosak atau hilang, lapor media tempatan.

“Ini bertujuan untuk membantu menggantikan barangan rumah seperti peralatan dapur, kerusi, meja dan keperluan asas lain,” katanya Khamis lalu.

Pemerintah juga sedang menyediakan pampasan untuk mangsa yang meninggal dunia dan cedera parah.

“Keluarga mangsa yang meninggal dunia akan menerima 15 juta rupiah (RM3,700), manakala mangsa yang mengalami kecederaan parah akan menerima 5 juta rupiah (RM1,200)”, kata Saifullah.

Sehingga kelmarin, jumlah kematian mencecah 1,068 orang, dengan lebih 190 orang masih hilang dan kira-kira 7,000 cedera di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara selepas Siklon Senyar melanda pada akhir November lalu. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN