BARCELONA – Pihak pengurusan Barcelona semakin ‘jatuh cinta’ dengan pemain pinjaman daripada Manchester United, Marcus Rashford dan terdesak untuk mengekalkan khidmatnya secara tetap pada tahun depan.
Menurut laporan, barisan kejurulatihan The Catalan terkejut apabila melihat pemain antarabangsa England itu mudah untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Sepanyol apabila meledak tujuh gol pada musim ini.
Malah, Rashford turut menjadi nadi penting di posisi serangan dengan mencatat 11 bantuan jaringan dalam semua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara Eropah (UCL), La Liga dan Piala Raja Sepanyol.
Pada awalnya, Rashford bukanlah pilihan utama Barcelona pada jendela perpindahan lepas selepas pengarah sukan kelab, Deco lebih cenderung untuk menandapatkan khidmat Luis Diaz (kini bersama Bayern Munich) atau Nico Williams (kekal bersama Athletic Bilbao).
Namun, hasrat tersebut gagal direalisasikan dan terpaksa bersetuju dengan United yang menawarkan Rashford dengan pinjaman selama semusim bernilai €5 juta (RM23.8 juta) dan klausa pembelian tetap sebanyak €30 juta (RM143.3 juta).
Kini, skuad kendalian Hansi Flick itu sangat berminat untuk kekalkan khidmat Rashford selepas berpuas hati dengan komitmen serta aksi disipilin yang ditampilkan oleh pemain berusia 28 tahun itu.
Skuad Barcelona berada dalam landasan terbaik untuk memburu gelaran trebel musim ini selepas memimpin carta La Liga selain turut cemerlang dalam kempen UCL dan Piala Raja Sepanyol. – AGENSI














