PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan, tiada sebarang gangguan bekalan elektrik kepada pengguna susulan insiden melibatkan peserta aktiviti paragliding (luncur layar) di Program Larian Antarabangsa Budaya Duyong 2025, Melaka hari ini.
TNB menerusi kenyataan berkata, bagaimanapun pihaknya akan terus memantau keadaan bagi memastikan keselamatan rangkaian elektrik sentiasa terjamin.
“TNB mengambil maklum video tular berhubung kejadian melibatkan aktiviti paragliding yang dipercayai telah melanggar talian penghantaran elektrik di Duyong, Melaka hari ini.
“Kami amat memahami kebimbangan orang ramai susulan kejadian ini. Kami turut bersimpati dengan individu yang terlibat serta keluarga mereka dan mendoakan agar beliau berada dalam keadaan selamat,” kata kenyataan itu.
Sebagai langkah pencegahan, TNB turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi garis panduan keselamatan.
“Dapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti yang dilarang berdekatan talian penghantaran elektrik melalui https://www.tnb.com.my/transmissionlinessafety,” tambah kenyataan sama.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, tular klip video seorang pengendali paramotor terlanggar kabel elektrik sebelum terhempas ke dalam kawasan bendang semasa demonstrasi udara di Program Larian Antarabangsa Budaya Duyong 2025, di Melaka.
Insiden itu dirakam pengunjung dalam video berdurasi 18 saat yang memperlihatkan detik cemas ketika pengendali berkenaan dipercayai hilang kawalan.
Di awal rakaman tersebut, pengendali itu dilihat menghampiri kawasan larian sebelum terlanggar kabel elektrik lalu terhempas ke dalam kawasan bendang. – KOSMO! ONLINE














