PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kemboja dan Thailand menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini.
Menurut Perdana Menteri, beliau telah menegaskan perkara itu kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Kemboja dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.
“Saya berkesempatan berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja dan Thailand bagi bertukar pandangan serta membincangkan hala tuju terbaik ke arah meredakan ketegangan yang timbul antara kedua-dua negara.
“Saya menegaskan pentingnya untuk Kemboja dan Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan dan saling menghormati demi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang akan berlangsung esok merupakan wadah sesuai dan konstruktif untuk membolehkan kedua-dua negara berunding secara terbuka.
Menurut beliau, kedua-dua negara Thailand dan Kemboja perlu menyelesaikan perbezaan secara aman serta mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan. – KOSMO! ONLINE














