fbpx
AARON (kiri) dan Wooi Yik tewas 21-17, 18-21, 15-21 dalam aksi tiga set kepada beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy. - AFP

Aaron-Wooi Yik alih fokus Terbuka Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEKECEWAAN pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China mahu segera dilupakan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi memberi perhatian kepada saingan musim baharu 2026.

Bekas juara dunia itu terus kempunan melangkah ke pusingan kalah mati dalam saingan WTF apabila sekali lagi tersingkir peringkat kumpulan selepas menamatkan aksi di tangga ketiga.

Wooi Yik tanpa berselindung mengakui, mereka terus bergelut dan berdepan kesukaran untuk menamatkan badi gagal ke separuh akhir selain mahu menjadikan ia sebagai pengajaran berguna buat masa depan.

“Kami masih bergelut untuk melepasi peringkat kumpulan tetapi saya fikir sedikit demi sedikit kami sudah menjadi lebih baik dan ini juga kejohanan terakhir untuk saya dan Aaron bagi 2025.

“Selepas ini, kami akan pulang ke Malaysia dan melakukan persiapan menghadapi Terbuka Malaysia. Sudah tentu kami tidak sabar bermain di laman sendiri,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou malam kelmarin, Aaron-Wooi Yik tewas 21-17, 18-21, 15-21 kepada beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy.

Ia menyaksikan hasrat ke separuh akhir buat kali pertama terus tertangguh, lebih-lebih lagi Aaron-Wooi Yik perlu mencatat kemenangan straight set bagi meneruskan kemaraan.

“Kami sedar perlu menang dalam tempoh dua set tetapi ia tidak memberikan tekanan kepada kami. Apa yang penting untuk berikan segala-galanya di dalam gelanggang kerana ia bukan satu perlawanan mudah,” ujar Wooi Yik.

Situasi sama turut dialami Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila menamatkan Kumpulan A di tangga ketiga selepas tewas kepada Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN