NEW DELHI – Sekurang-kurangnya tujuh ekor gajar liar mati dirempuh kereta api berkelajuan tinggi selepas kawanan haiwan itu cuba melintas landasan di timur laut India, lapor akhbar Metro UK.
Kejadian berlaku sekitar pukul 2.17 pagi (waktu tempatan) semalam di negeri Assam yang menjadi habitat kepada kira-kira 7,000 gajah liar.
Pemandu kereta api penumpang itu segera menekan break kecemasan selepas menyedari kehadiran 100 ekor gajah di tengah landasan kereta api.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun brek secara mengejut itu menyebabkan lima gerabak kereta api tergelincir.
Kereta api Rajdhani Express tersebut membawa 650 penumpang dari Sairang, negeri Mizoram menuju ke New Delhi.
Syarikat pengangkutan kereta api, Indian Railways berkata: “Kami memisahkan gerabak yang tidak terjejas dan kereta api itu meneruskan perjalanannya ke New Delhi.
“Kira-kira 200 penumpang di lima gerabak yang tergelincir telah dipindahkan ke Guwahati dengan kereta api lain. Kereta api yang dijadualkan melalui laluan itu telah dilencongkan, manakala kerja pemulihan dijalankan,” kata syarikat itu. – AGENSI














