REMBAU – Tular gambar serta video memaparkan kelibat seekor buaya muncul di Sungai Relong dan kemudiannya bersidai di tepi tebing pasir sungai berkenaan baru-baru ini.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali Ali, 60an berkata, kemunculan buaya di perkampungan tersebut adalah pertama kali dan penduduk juga sudah tidak menjala ikan di kawasan sungai yang dikenali sebagai Empangan Sungai Relong Lama.
“Ini baharu pertama kali buaya muncul di sungai kampung ini. Dalam sebulan dua tapi kadang-kadang dan nasib-nasib sahaja penduduk akan nampak. Namun, sekurang-kurangnya ada beberapa ekor di sini.
“Ikut cerita ada tiga ekor dengan salah satunya hampir dua meter panjang dan dua ekor lagi anak buaya. Buat masa ini, buaya ini tidak menganggu penduduk dan lokasi ini pun terletak jauh dari kediaman penduduk.
“Saya tak pasti ada yang sudah buat aduan atau tak, namun kalau boleh saya harap agar pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dapat memantau kelibat buaya di sungai ini,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, buat masa ini pihaknya masih belum menerima aduan mengenai gambar atau video tular berkenaan. – KOSMO! ONLINE














