PERNAH mencuba nasib di negara Uncle Sam saat semangat masih membara memetakan nama Malaysia di mata dunia, Yuna kini memilih untuk tidak terlalu menjadikan Amerika Syarikat sebagai ‘kiblat’ untuk memasarkan seni muzik.
Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 39, berpendapat, motivasinya untuk membikin seni masih sama, namun kompas berbuat demikian tidak lagi terarah sepenuhnya di sana.
“Sekarang dah berbeza sebab kini saya kembali bergerak secara indie. Kalau saya bernaung di bawah mana-mana label (macam waktu dahulu), tiada kebebasan bersuara pun.
“Motivasi nak buat muzik sekarang bertukar sikit. Sekarang dah tak lagi nak cuba jadi artis paling berjaya di mana-mana.
“Bukan macam itu lagi. Saya hanya nak buat muzik dan itu sahaja,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Ditebak pertanyaan karya-karya lamanya masih setia didengari dan masih antara penyanyi tempatan dengan jumlah strim tertinggi di platform muzik, Yuna bersyukur masih diterima, namun tidak pernah mendabik dada.
Baginya, akan ada masa seseorang artis berada di atas dan adakalanya berada di bawah.
“Saya gembira orang masih dengar lagu saya sampai sekarang. Lagu saya yang paling tinggi jumlah penstriman sehingga sekarang adalah Crush (featuring Usher).
“Saya yag tulis lagu itu dan Crush adalah lagu ciptaan anak tempatan. Dahulu, semasa saya masih aktif di AS, kadang-kadang saya lupa yang orang dengar lagu saya di mana-mana, dari Chicago, New York dan tempat-tempat lain seluruh dunia.
“Saya harap dengan lahirnya EP terbaharu nanti (The Valour Hour), orang masih sudi mendengar walaupun stepping stone (batu loncatan) sekarang tak sebesar dahulu.
“Dahulu batu besar, sekarang kecil sikit tapi tak mengapa,” ujarnya lagi.
Menyentuh tentang The Valour Hour, Yuna bekerjasama dengan komposer juga pemenang Anugerah Grammy ke-66, Olmo Zucca, bagi penghasilan tiga lagu dalam diskografi terbaharunya itu.
“Saya bertuah kerana dapat bekerja dengannya ketika dia masih baharu dalam bidang muzik. Dari situ, kami berkawan dan terus berkongsi idea kreatif.
“Sama seperti ketika dia menghasilkan lagu untuk Tyla, ketika itu pun (dia) masih bertatih sebagai penerbit. Kami sudah pun bekerjasama dalam tiga lagu sewaktu saya berada di Los Angeles, termasuk dalam mini album sebelum ini, Wasting Away.
“Kali ini, kami sambung kerjasama untuk The Valour Hour, namun stail EP ini lebih kembali kepada R&B. Olmo sendiri teruja apabila saya kembali kepada genre itu, begitu juga peminat saya yang biasa dengan lagu Crush,” katanya menggulung perbualan.
Kolaborasi tersebut lahir daripada hubungan persahabatan yang terjalin sejak beberapa tahun lalu, sebelum Olmo meraih perhatian global menerusi lagu Water nyanyian Tyla yang memenangi kategori Best African Music Performance pada Anugerah Grammy 2024.














