SEREMBAN – Seorang lelaki yang dipercayai suspek utama bagi kes penemuan mayat wanita dalam beg ditanam di belakang sebuah rumah di Batu 4, Pedas di Rembau Khamis lalu direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 Disember.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Polis, Idzam Jaafar berkata, permohonan reman suspek berusia 51 tahun yang ditangkap di Genting Sempah kira-kira pukul 3.09 petang semalam dibuat di Mahkamah Majistret Seremban.
“Sebelum ini polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun di Melaka bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Ini menjadikan keseluruhan dua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Sebelum ini, Idzam menegaskan hubungan suspek dengan si mati, sama ada berkahwin atau tidak, masih belum dapat dipastikan berikutan tiada dokumen ditemukan serta siasatan lanjut masih dijalankan termasuk punca kematian.
Terdahulu, suspek utama yang memakai baju lokap berwarna jingga dibawa polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau menggunakan van dan tiba kira-kira pukul 9.45 pagi.
Tangkapan dua suspek berkenaan juga dipercayai berkait satu kes individu yang dilaporkan hilang di Ampang Jaya, Selangor, baru-baru ini iaitu Suri Narudin, 53, dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE














