JERANTUT – Perjalanan sepasang suami isteri bagi menghadiri majlis perkahwinan di Kedah tidak kesampaian apabila motosikal berkuasa tinggi dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 13, Jalan Jerantut–Temerloh berdekatan Kampung Tebing Tinggi di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.25 petang itu menyebabkan penunggang motosikal, Noor Aizat Abu Bakar, 44, maut di tempat kejadian, manakala isterinya, Noorhashimah Ramlee, 44, mengalami cedera parah.
Adik Noorhashimah, Nur Hidayatul Husna Ramlee, 29, berkata ketika kejadian, kakak dan abang iparnya dalam perjalanan ke Jitra, Kedah.
“Kelmarin, kakak ada memaklumkan akan menghubungi saya sebelum dia bergerak ke Kedah. Bagaimanapun kakak tidak menelefon saya dan kira-kira pada pukul 8 malam kami terkejut kerana dimaklumkan kakak dan abang ipar terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jerantut di sini.
Menurut Nur Hidayatul Husna, dalam kejadian itu, abang iparnya seorang kakitangan Hospital Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kakaknya cedera parah dan dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas) Temerloh.
Dalam pada itu katanya, dia amat sedih dan terkilan kerana kakak dan abang iparnya sudah merancang untuk menganjurkan percutian hujung tahun bersama keluarga ke Krabi, Thailand.
Katanya, ahli keluarga reda dengan pemergian allahyarham abang ipar yang meninggalkan tiga orang anak lelaki berusia 22, 16 dan 10 tahun. Jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Utara Tiga di sini, selepas proses bedah siasat selesai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mohd Azahari Muhktar berkata, siasatan polis mendapati nahas berlaku kerana kecuaian pemandu SUV yang membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan. – KOSMO! ONLINE














