STOCKHOLM – Seorang pembunuh upahan berumur 12 tahun di Sweden ditahan selepas melepaskan tembakan ke arah sasaran yang salah semasa menjalankan ‘tugas’ dengan ganjaran sebanyak £20,000 (RM109,255), lapor akhbar The Sun UK.
Tangkapan dibuat setelah seorang pemuda berumur 21 tahun ditembak mati di dalam sebuah kereta di Malmo, selatan Sweden.
Laporan tempatan menyatakan, sasaran sebenar ialah seorang individu lain di dalam kereta tersebut.
Tembakan berlaku sekitar pukul 10.30 malam (waktu tempatan) ketika mangsa menaiki kereta jenis Audi bersama rakan-rakannya di Galgebacksvägen, Oxie.
Penumpang lain bergegas ke pusat bandar sebelum meninggalkan kereta itu di tepi jalan dan menghubungi polis.
Suspek bawah umur itu diberkas Selasa lalu, lapor akhbar Sydsvenskan.
Dia merupakan pembunuh upahan paling muda di Sweden, lapor media tempatan. – AGENSI














