SEBERANG PERAI – Polis mengesahkan pemuda yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes bunuh ibu kandungnya yang maut dalam kebakaran di rumah sewa mereka di Taman Rathna, Butterworth di sini, 10 Disember lalu tidak mempunyai rekod masalah kesihatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Kosmo! di sini berkata, suspek yang merupakan anak lelaki kepada mangsa terbabit kini ditahan reman sehingga 24 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian berlaku. Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan,” katanya.
Terdahulu, polis mengklasifikasikan kematian dua mangsa terbabit sebagai mati mengejut (SDR), sebelum menunggu laporkan forensik kebakaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang.
Baru-baru ini, Kosmo! Online melaporkan jenazah Hayani Yaakob, 50-an dan anak angkat perempuannya masih belum boleh dituntut dan dikebumikan kerana perlu menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, mayat dua mangsa rentung ditemukan secara bersebelahan pada jarak satu meter di bahagian ruang tamu, dekat pintu keluar utama.
Anak lelaki wanita itu pula ditemukan selamat di bahagian pintu dapur dan mengalami kecederaan akibat dihempap bumbung kediaman itu. – KOSMO! ONLINE














