WASHINGTON – Nota penyiasatan yang memperincikan tuntutan pesalah seks, Jeffrey Epstein terhadap individu untuk mendapatkan kanak-kanak bagi tujuan pemangsa seksual adalah antara dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) semalam, lapor portal berita The Guardian.
Dokumen-dokumen itu menyorot tindakan Epstein dan mereka di sekelilingnya dalam usaha mendapatkan wanita muda dan gadis bawah umur untuk pesalah seks tersebut yang meninggal dunia di penjara New York.
Ia merupakan sebahagian daripada pengeluaran dokumen yang telah lama dinantikan daripada Jabatan Kehakiman di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, yang dikritik kerana ia hanya pendedahan separa dan disunting secara meluas.
Namun, satu dokumen khusus, dikenali sebagai EFTA00004179, terdiri daripada helaian bukti rasmi Biro Penyiasatan Pusat (FBI) dan 13 halaman nota penyiasatan tulisan tangan daripada satu temu bual yang dijalankan pada 2 Mei 2019, mendapat perhatian ramai.
Identiti individu yang ditemu bual itu telah disunting, begitu juga sebahagian kandungannya.
Walaupun begitu, beberapa kandungan utama dapat dikenal pasti, termasuk perekrutan gadis-gadis, pertemuan seksual yang disamarkan dan keutamaan khusus Epstein berkaitan umur serta bangsa.
“Rakan kepada rakan (disunting). Kumpulan besar (gadis) dari Brazil. Masa terdesak,” kata saksi itu menurut nota berkenaan.
Nota tersebut dipercayai merujuk kepada Epstein menggunakan inisial JE.
Seorang wanita Republik Dominica berkulit gelap telah dibawa masuk semasa masa terdesak itu, tetapi JE tidak mahukan gadis berbahasa Sepanyol atau berkulit gelap, demikian menurut nota tersebut. – AGENSI














