SHAH ALAM – Mayat seorang bayi perempuan yang baharu dilahirkan ditemui di dalam plastik selepas dibuang di belakang sebuah pasar raya di Tamsn Sri Muda, Seksyen 25 di sini, hari ini.
Penemuan bayi itu dimaklumkan orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum anggota peronda polis tiba di lokasi kejadian bagi tujuan pengesahan maklumat itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) ini telah menghubungi pihak ambulans namun bayi itu disahkan telah meninggal dunia.
“Hasil siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai dilahirkan di tempat lain sebelum dibuang di lokasi ini. Anggaran bayi itu dibuang kira-kira lapan jam sebelum ditemui orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah hadir untuk mengendalikan tempat kejadian bagi mengumpul sebarang bukti dan barang kes yang boleh membantu siasatan.
Jelas Ramsay, siasatan masih diteruskan bagi mengumpul segala bukti dan keterangan yang ada di sekitar kawasan tempat kejadian.
“Mayat bayi telah dihantar ke Unit Forensik Jabatan Patologi, Hospital Klang untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394,” katanya. – KOSMO! ONLINE














