JITRA – Lima jentera berat musnah sehingga 80 peratus apabila sebuah gudang di Dewan Bintara, Kampung Paya Pulau Dudur di sini terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 11.56 pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, kebakaran melibatkan sebuah gudang simpanan jentera berat kelas B dengan anggaran kemusnahan struktur bangunan sekitar 40 peratus.
“Kebakaran turut menjejaskan lima jentera berat yang disimpan dalam gudang berkenaan termasuk sebuah penggelek jalan kecil yang musnah sehingga 80 peratus, penggelek jalan besar (40 peratus), dua traktor serta sebuah jentolak.
“Api turut merebak ke sebuah stor simpanan barang kelas B dua tingkat yang musnah kira-kira 80 peratus. Tiada mangsa terlibat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Noor Azhar berkata, seramai 22 anggota dari BBP Jitra dan Alor Setar terlibat dalam operasi pemadaman dengan dibantu 45 anggota Pasukan Bomba Sukarela dari beberapa kawasan sekitar serta empat anggota polis. – KOSMO! ONLINE














