fbpx
Sultan Pahang menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS SK Bunut Redang di Kuantan, Pahang hari ini

Jangan politikkan kelewatan bantuan banjir – Sultan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat negeri ini tidak mempolitikkan isu kelewatan bantuan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) khususnya pada hari awal bencana.

Titah baginda, kelewatan bantuan berlaku kerana banjir berlaku secara mendadak sekali gus menyukarkan proses penyelarasan, bukannya disengajakan.

Baginda bertitah, semua pihak telah berusaha sedaya upaya untuk membantu mangsa yang terjejas.

“Hari pertama ada (berlaku) kelewatan, bukanlah disengajakan dan saya harap kita jangan politikkan kelewatan kerana terdapat banyak masalah tersendiri.

“Mereka ini (petugas) terkejut apabila banjir berlaku dengan sekelip mata. Alhamdulillah saya harap (perkara) ini tidak akan berlaku di masa akan datang,” titahnya ketika menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Redang di sini hari ini.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda bertitah, kebanyakan kawasan yang dilanda banjir telah pulih sepenuhnya, namun masih terdapat beberapa jalan terputus iaitu di Pulau Manis dan Bukit Kenau, Sungai Lembing.

“Ahamdulillah, kita terus berdoa dan rakyat Pahang kena terus berdoa ke hadrat Allah memohon cuaca bertambah baik dan bencana banjir ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan semua pihak supaya bersedia menghadapi gelombang banjir yang dijangka berlaku minggu hadapan. Baginda turut menasihatkan mangsa banjir agar tidak tergesa-gesa meninggalkan PPS.

“Saya menyeru rakyat agar terus bersabar, memperkukuh doa dan kebergantungan kepada Allah dalam menghadapi dugaan ini. Kesabaran sebahagian daripada iman dan doa kita sebahagian daripada ibadah,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI