PETALING JAYA – Fenomena kewujudan pelbagai jenis ‘coach’ pada masa kini tidak menjadi satu kesalahan selagi mana peranan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Dr. Rozaimi Ramle menjelaskan tidak salah untuk seseorang menjadi ‘coach’ atau penasihat dalam apa jua bidang termasuk urusan rumah tangga, namun perkara paling utama ialah memastikan nasihat yang diberikan tidak membawa kepada kemudaratan.
“Cuma pastikan kita tidak terlibat dalam menghasut seseorang untuk berpisah atau bercerai tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Setiap nasihat perlu didahului dengan tabayyun dan kefahaman yang menyeluruh,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa jika tabayyun telah dilakukan dan masalah yang wujud benar-benar memerlukan tindakan, maka nasihat sewajarnya perlu diberikan secara berhemah tanpa berlebihan atau mendedahkan aib mana-mana pihak.
Dalam masa sama, Rozaimi turut mengingatkan bahaya peranan individu yang membawa kepada perpecahan rumah tangga dengan mengaitkan satu hadis Rasulullah SAW riwayat Muslim mengenai tentera Iblis yang paling tinggi kedudukannya ialah mereka yang berjaya memisahkan suami isteri.
“Talak dan perceraian bukan keaiban, namun memburukkan keperibadian pasangan secara terbuka itu satu kelemahan.”
“Jika nak nasihat apa-apa pastikan ia bertepatan dengan syarak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














