fbpx
Norhafizah (tengah) membantu Natrah (kiri) memilih pakaian seragam untuk anaknya, Syukur Aiman Nor Izan di Tasek Gelugor, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO!

Ibu bapa pilih buat persiapan awal sekolah, lancar urusan perbelanjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Bagi sesetengah ibu bapa, persiapan persekolahan bukan sekadar membeli pakaian seragam, beg dan kasut, sebaliknya merupakan kesesuaian untuk mereka menguruskan perbelanjaan agar tidak membebankan kewangan keluarga.

Itu yang dikongsi suri rumah, Natrah Umar, 47, yang berjaya menyiapkan kelengkapan persekolahan dua anaknya lebih awal menerusi program PVISB Bersama Komuniti: Bekal ke Sekolah di Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Akuinya, harga barangan seperti pakaian seragam dan pakaian sukan kini semakin meningkat dan bantuan yang diterimanya itu amat membantu meringankan beban yang ditanggung.
“Suami bekerja sebagai tukang rumah dan pendapatannya tidak menentu. Jadi bila dapat sediakan keperluan sekolah lebih awal, saya boleh rancang perbelanjaan dengan lebih baik tanpa perlu kalut saat akhir.

“Walaupun cuti sekolah baru bermula hari ini, persiapan awal memberi ruang untuk saya mengasingkan perbelanjaan lain seperti buku, yuran PIBG dan keperluan tambahan sebelum sesi persekolahan tahun hadapan,” katanya yang mempunyai empat orang anak berusia antara 18 hingga lima tahun.

Terdahulu, seramai 33 pelajar daripada golongan B40 menerima bantuan kelengkapan persekolahan bernilai RM200 setiap seorang menerusi program anjuran PERDA Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (PVISB), syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Skuad Antidadah Kebangsaan.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Kadun Permatang Berangan merangkap Ahli Lembaga Pengarah PVISB, Norhafizah Othman berkata, program berkenaan dilaksanakan sebagai usaha berterusan membantu keluarga yang memerlukan, khususnya dalam aspek pendidikan anak-anak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI