JERANTUT – Pengalaman berdepan banjir tahun ini menyeronokkan bagi 28 guru Sekolah Kebangsaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (SKPPPTR) Tekam dekat sini semalam.
Seramai 28 orang guru bersama Guru Besar, Zainordin Mohamed Yatim terkandas di pintu masuk Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Tekam apabila air dari sebatang anak sungai melimpah sedalam satu meter yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
Zainordin berkata, ketika dia hampir tiba di pintu masuk pusat tersebut kira-kira pukul 7 pagi semalam, kelihatan banyak kenderaan diletakkan di luar pagar berikutan air membanjiri kawasan itu.
“Seorang guru wanita memberitahu kenderaan ringan tidak lepas masuk, cuma kenderaan trak pikap dan kenderaan berat sahaja boleh melepasi kawasan banjir sejauh kira-kira 200 meter.
“Tidak berapa minit kemudian, pihak pengurusan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menyediakan sebuah traktor yang mempunyai tempat duduk berbumbung untuk membawa kakitangannya dan guru dibawa masuk ke sekolah,” katanya di sini hari ini.
Dia berkata, oleh kerana guru terpaksa mengambil masa hampir 25 minit dalam perjalanan sejauh 2.5 kilometer menaiki traktor untuk tiba di sekolah, guru yang tinggal di kuarters serta kakitangan telah mengendalikan sesi program bacaan yasin bersama 389 orang murid sebelum mereka sampai di perkarangan sekolah kira-kira pukul 8 pagi.
Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran, Mohd Jusni Yusof berkata, ketika dia tiba pada pukul 6.55 pagi semalam dari rumahnya di Felda Sungai Tekam Utara kelihatan beberapa orang guru wanita agak cemas kerana tidak dapat masuk dengan kenderaan mereka kerana air sedalam hampir satu meter. – KOSMO! ONLINE














