LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui dalam dilema untuk memilih siapa yang bakal mengisi slot penyerang utama menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Everton, awal pagi esok.
Skuad The Gunners sebelum ini sering menggunakan khidmat pemain baharu, Viktor Gyokeres untuk menjadi penggempur ‘No. 9’, tetapi penyerang antarabangsa Sweden itu gagal mempamerkan prestasi konsisten.
Kecederaan yang dialami oleh Gyokeres pada Oktober lepas menyaksikan Arteta terpaksa menggunakan ‘pelan B’ apabila pemain tengah, Mikel Merino dijadikan bidan terjun dan beraksi dengan cemerlang sebagai penyerang utama pasukan.
Arteta mengakui impak Merino sangat luar biasa dengan pasukan beraksi dengan lebih baik apabila dia memacu jentera serangan pasukan.
“Setiap kali diturunkan, Merino akan beri persembahan yang luar biasa. Dia berada di mana-mana dan momentumnya sangat bagus ketika ini.
“Malah, kehadirannya di atas padang menjadikan pasukan kami beraksi dengan lebih baik,” katanya.
Selain Gyokeres dan Merino, Arsenal turut memiliki dua lagi penyerang simpanan seperti Gabriel Jesus yang sudah pulih sepenuhnya manakala Kai Havertz pula dijangka kembali dalam masa terdekat. – AGENSI














