NAKHON PATHOM – Impian pasukan sepak takraw Thailand untuk melunaskan dendam terhadap Malaysia di pentas final acara regu lelaki musnah apabila skuad Gajah Perang itu dikejutkan dengan kekalahan kepada Vietnam pada aksi separuh akhir hari ini.
Dalam aksi di Stadium Gimnasium Nakhon Pathom itu, Thailand gagal meneruskan penguasaan emas tiga edisi berturut-turut yang dimenangi mereka sejak Sukan SEA Filipina 2019.
Thailand yang mempertaruhkan gandingan Pornthep Tinbangbon, Marukin Phanmakon serta Varayut Jantarasena gagal menyekat kebangkitan pasukan Vietnam sebelum tumbang dalam pertarungan tiga set 13-15, 15-6, 9-15.
Regu Vietnam yang dibarisi Ngo Thanh Long (tekong), Vuong Minh Chau (apit kanan), dan Huynh Ngoc Sang (perejam) mempamerkan disiplin tinggi dan tidak memberi ruang kepada trio tuan rumah itu untuk mencipta kemenangan pada set penentuan.
Kekalahan mengejut ini pastinya memberi tekanan hebat kepada kem Thailand, memandangkan skuad regu berpasukan lelaki mereka turut tewas kepada Malaysia dalam aksi final sebelum ini.
Sementara itu, skuad negara menepati ramalan untuk mara ke pentas final apabila melakar kemenangan mudah ke atas Indonesia dengan keputusan straight set 15-7, 15-10 pada satu lagi aksi separuh akhir.
Malaysia yang menurunkan gandingan berpengalaman Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam), dan Farhan Adam (pengumpan), manakala Haziq Hairul Nizam dan Noraizat Nordin bertindak sebagai pemain simpanan.
Gandingan ini memperagakan aksi cukup kemas untuk mengatasi trio Indonesia yang dibarisi Victoria Eka Prasetyo (tekong), Rusdi (perejam), dan Hardiansyah Muliang (pengumpan).
Susulan kemenangan tersebut, Malaysia dijadualkan bertemu Vietnam di perlawanan akhir bagi memburu pingat emas kerana acara regu sebelum ini yang dikuasai Thailand sejak tiga edisi lalu bermula di Filipina 2019.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat emas dalam acara regu adalah pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, namun ketika itu Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara berkenaan. -KOSMO! ONLINE














