KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes amang seksual terhadap pelajar lelaki berusia 11 tahun di sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.
Katanya, suspek yang merupakan tenaga pengajar berkhidmat di institusi berkenaan selama 11 tahun.
“Suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga Khamis depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, polis menyiasat seorang lelaki selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah sekolah di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.16 petang dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017. – KOSMO! ONLINE














