PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan remaja lelaki yang mengganggu ketenteraman kawasan dengan bermain motosikal dalam keadaan bising ketika waktu malam di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, mencetus kemarahan penduduk setempat.
Menerusi hantaran pengguna Threads @Syafiqasyr, mendakwa sekumpulan remaja itu sering bermain motosikal setiap malam di lampu isyarat walaupun sudah membuat laporan polis.
“Makin menjadi budak-budak ini. Setiap malam memekak sahaja. Selalu telefon polis, nanti mereka lari sekejap dan datang semula,” katanya.
Video berdurasi 25 saat itu memaparkan sekumpulan remaja itu melakukan aksi lagak ngeri berbahaya sekali gus mengundang kemarahan penduduk setempat.
Sementara itu, pengguna Threads @Ela.razali, turut mengakui pernah berpura-pura menghubungi polis ketika melalui jalan tersebut untuk menakutkan mereka, namun diabaikan.
Tinjauan Kosmo! mendapati ramai turut berang dengan tindakan tidak bermoral dan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain tersebut.
“Boleh letak kamera litar tertutup (CCTV). Mudah sikit nak buat laporan polis kerana pencemaran bunyi. Nak saman pun senang sebab dapat nombor plat motosikal,” komen @_Azid.sham.
“Sedih tengok mereka macam tiada hala tuju. Ibu bapa pun tak mampu nak mengawal anak-anak. Apa yang terjadi kepada mereka pun tiada ihsan daripada orang,” komen @Muzaneeshah. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














