PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa menyantuni rakyat termasuk peniaga makanan ketika meninjau keadaan banjir di sekitar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnipSAS), di Kuantan, Pahang semalam.
Beliau dalam lawatan ringkas itu, sempat singgah di sebuah ‘food truck’ yang sedang menyediakan makanan untuk penduduk setempat dan mangsa terjejas banjir.
“Saya sempat bersembang dan menyantuni mereka yang berada di kawasan ini. Sempatlah juga masak nasi goreng, walaupun masih belum boleh menandingi Dr. Ahmad Maslan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, di sebalik momen tersebut, hatinya benar-benar tersentuh melihat kecekalan rakyat yang masih berusaha membantu antara satu sama lain walaupun kawasan sekitar dilanda banjir.
“Dalam keadaan serba mencabar ini, masih ada rakyat yang cekal dan saling membantu dengan cara serta kemampuan masing-masing,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua yang terjejas diberikan perlindungan dan dipermudahkan segala urusan.
“Saya mendoakan semoga Allah SWT melindungi mereka, mempermudahkan urusan semua yang terjejas dan menggantikan setiap kesukaran dengan kebaikan yang lebih besar. Insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














