KUALA LUMPUR – Menangis tanpa henti disyaki menjadi punca seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipukul anak pengasuh sehingga lebam dalam kejadian di Batu Muda, di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keadaan tersebut disyaki telah mengganggu suspek berusia 18 tahun yang sedang berehat di rumah.
“Suspek telah ditahan semalam dan reman dibenarkan selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, mangsa yang cedera di bahagian mata dalam keadaan stabil dan masih berada di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lumpur.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu disedari selepas ibu mangsa mengambil anaknya di rumah pengasuh dan mendapati mata kiri kanak-kanak itu cedera dan lebam.
Ibu bapa mangsa kemudian membawa kanak-kanak itu ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE














