BANGKOK – Skuad skuasy negara menutup tirai saingan Sukan SEA Thailand 2025 dengan prestasi cemerlang apabila berjaya menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang ditawarkan pada edisi ke-33 ini.
Pada aksi terakhir di Kolej Vajiravudh hari ini, Malaysia mengesahkan status selaku kuasa besar rantau ini apabila Sanjay Jeeva melengkapkan kutipan emas keempat menerusi acara perseorangan lelaki.
Dalam aksi final sesama sendiri itu, Sanjay yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk menewaskan pilihan kedua, Duncan Lee.
Sanjay mempamerkan kebangkitan untuk mencatat kemenangan 6-11, 11-6, 11-5, 11-4 ke atas rakan senegaranya itu.
Terdahulu, Noor Ainaa Amani Ampandi menepati ramalan meraih emas perseorangan wanita apabila berjaya menewaskan rakan sepasukan, Yee Xin Ying 11-7, 12-10, 8-11, 11-4 dalam pertarungan yang memakan masa 35 minit.
Kejayaan hari ini melengkapkan dua pingat emas yang dituai kem skuasy negara pada Rabu lalu menerusi acara beregu jumbo lelaki dan campuran.
Harith Danial Jefri muncul wira apabila menyumbang dua pingat emas tersebut, bermula dengan gandingan bersama Sehveetrraa Kumar dalam acara campuran menewaskan pasangan Filipina, Jonathan Reyes-Aerra JC Mae Relano 11-5, 11-2.
Momentum itu diteruskan Harith apabila bergandingan dengan Low Wa Sern bagi acara beregu jumbo lelaki untuk menewaskan satu lagi wakil Filipina, Jonathan Reyes-Christopher Buraga 11-4, 8-11, 11-5.
Dengan kejayaan hari ini, skuad skuasy negara membawa pulang empat pingat emas dan dua perak secara keseluruhan -KOSMO! ONLINE














