BANGKOK – Kejayaan skuad bola jaring negara melakar hatrik pingat emas pada Sukan SEA 2025 disifatkan sebagai permulaan kepada misi lebih besar terutama melayakkan diri ke Piala Dunia 2027 di Sydney, Australia.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Mat Nor berkata, kejayaan menewaskan musuh tradisi, Singapura 52-49 dengan kelebihan tiga gol di pentas final membuktikan gabungan pemain senior dan remaja membuahkan hasil.
Namun, Zainon menegaskan momentum cemerlang itu tidak boleh terhenti di bumi Thailand dan kini menuntut agar Majlis Sukan Negara (MSN) mempertimbangkan program latihan sepenuh masa.
Persiapan perlu dibuat segera kerana Malaysia akan menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia di Hong Kong pada Ogos nanti yang menawarkan dua slot automatik ke Piala Dunia.
“Kita ada misi besar. Pertama, Kejohanan Asia di Hong Kong bulan Ogos nanti untuk merebut tiket ke Piala Dunia 2027 di Sydney.
“Bagi layak ke Sydney, pasukan negara tiada pilihan selain perlu menjadi dua pasukan terbaik Asia, bermakna saingan utama kita adalah Singapura dan Sri Lanka.
“Selain tiket Piala Dunia, kita juga mahu mempertahankan pingat emas buat kali keempat berturut-turut pada Sukan SEA 2027 ketika Malaysia menjadi tuan rumah nanti,” jelasnya.
Bagi merealisasikan impian tersebut, Zainon berharap MSN dapat meluluskan program latihan berpusat seawal Januari atau Februari depan.
“Kita berharap MSN dapat berikan status program sepenuh masa. Kita faham kekangan pemain yang belajar dan bekerja, namun jika mereka dapat dipusatkan di Kuala Lumpur, latihan intensif dapat dijalankan tanpa gangguan,” tambahnya.














