
BANGKOK – Penampilan sulung yang cukup gemilang buat atlet skuasy wanita negara, Noor Ainaa Amani Ampandi apabila berjaya menjelmakan pingat emas acara perseorangan pada Sukan SEA Thailand 2025, sebentar tadi.
Pada aksi final yang berlangsung di Kolej Vajiravudh, Bangkok itu, Ainaa yang diletakkan selaku pilihan utama kejohanan menepati ramalan apabila menewaskan rakan sepasukan, Yee Xin Ying dalam pertemuan sesama sendiri.
Ainaa yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan lutut kanan itu cemerlang apabila mudah mengatasi Xin Ying menerusi kemenangan 3-1 (11-7, 12-10, 8-11, 11-4) dalam masa 35 minit.
Kejayaan atlet berusia 23 tahun itu di temasya dwitahunan itu sekali gus melenyapkan kebimbangan yang disuarakan sebelum ini mengenai tekanan beraksi sebagai pemain tumpuan. -KOSMO! ONLINE














