PETALING JAYA – SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menganjurkan Program Soft Landing (Soft Landing Programme – SLP) bersama Swansea University, United Kingdom dari 10 hingga 18 Disember lalu bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
SME Corp. dalam kenyataan berkata, program berkenaan disasarkan kepada pengusaha PKS berpotensi tinggi dalam ekosistem francais dengan United Kingdom dipilih sebagai pintu masuk strategik ke pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.
Menerusi program itu, peserta didedahkan kepada amalan perniagaan antarabangsa termasuk sesi libat urus bersama pembuat keputusan utama, pemahaman rantaian bekalan global serta pendedahan kepada operasi di platform perdagangan antarabangsa dan ekosistem sokongan berkaitan.
“Seramai sembilan PKS Malaysia terpilih menyertai SLP yang dilihat mampu meningkatkan tahap kesediaan pengantarabangsaan syarikat tempatan secara lebih sistematik dan berdaya saing.
“Dalam usaha memperkukuh kerjasama jangka panjang, SME Corp. Malaysia dan Swansea University turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk pembangunan keusahawanan, penyelidikan dan perkongsian ilmu,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, SME Corp. berkata, MoU tersebut juga melibatkan pelaksanaan program mobiliti dan immersion, inisiatif akses pasaran, inovasi dan pemindahan teknologi serta kajian dasar berkaitan ekosistem PKS.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, pemeteraian MoU itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam membina kerjasama tersusun dan strategik bagi memperkasa PKS Malaysia di peringkat global.
“Kerjasama ini merangkumi pembangunan keusahawanan, perkongsian ilmu, program mobiliti serta inisiatif akses pasaran yang dapat meningkatkan daya saing dan tahap kesediaan pengantarabangsaan PKS Malaysia,” katanya.
Majlis pertukaran MoU itu berlangsung di Swansea University pada 16 Disember lalu dengan universiti berkenaan diwakili Dr. Fiona Jordan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Antarabangsa), Fakulti Sains Kemanusiaan dan Sains Sosial. – KOSMO! ONLINE














