PETALING JAYA – Dalam keghairahan menaiktaraf aksesori kereta, masih ramai pemilik kenderaan mengabaikan satu ciri keselamatan penting iaitu kamera undur (reverse camera).
Menerusi hantaran oleh Public Health Malaysia (PHM) di media sosial, kamera undur bukan sekadar gaya, sebaliknya berfungsi sebagai ‘mata belakang’ yang dapat membantu pemandu melihat kawasan blind spot (titik buta).
“Bila anda reverse (undur) dan belakang tu rupanya longkang besar, tebing lembut atau ada orang lalu rapat, masa tu baru nak ‘kalau ada reverse camera’. Tak sempat,” ujarnya.
PHM berkata, dalam konteks jalan raya di Malaysia yang banyak mempunyai parit, bahu jalan lembik serta kawasan perumahan gelap, kamera undur amat berguna khususnya untuk kenderaan tinggi seperti kenderaan pelbagai guna (MPV) dan jenis utiliti sukan (SUV).
Menurut PHM, pemasangan aksesori seperti kamera undur adalah dibenarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), asalkan tidak mengubah identiti kenderaan dan pemasangan dilakukan dengan kemas. – KOSMO! ONLINE














