BRASILIA – Sebuah replika patung Liberty yang terkenal di dunia setinggi 24 meter tumbang di Brazil, lapor laman berita metro.co.uk.
Pasukan pertahanan awam Brazil berkata, arca didirikan pada 2020 itu tumbang di bandar Guaíba, Rio Grande do Sul, di hadapan kedai Havan pada 15 Disember lalu ketika ribut melanda.
Ketika kejadian, angin bertiup selaju 88 kilometer sejam.
Rakaman dramatik kejadian dari sebuah bangunan berdekatan, memaparkan patung itu condong ke hadapan dan akhirnya tumbang.
Seorang pengguna platform X berkata: “Struktur seperti ini direka dengan margin keselamatan yang besar.
“Apabila ia gagal, ini bermakna kelajuan angin melepasi had yang jarang dijangka oleh jurubina,” katanya.
Seorang lagi menulis di laman sosial: “Seorang lelaki yang selalu meletakkan keretanya di bahagian belakang tempat letak di lokasi kejadian kini mendapati Patung Liberty berada di atas bumbung keretanya.” – AGENSI














