PETALING JAYA – Diberi mandat membawa watak bekas pemain badminton negara, Datuk Rashid Sidek, pelakon Kim Azzim mengakui mengigil ketika bertemu idolanya itu sewaktu sesi uji bakat filem Sentuhan Wira.
Kim Azzim atau nama sebenarnya, Nik Muhammad Azzimuddin Sulusna, 24, berkata, dipilih menggalas karakter ikon sukan negara, sekali gus kali pertama beraksi di layar perak bagai mimpi menjadi kenyataan.
“Ketika datang ke uji bakat filem berkisar kejayaan Malaysia merangkul Piala Thomas 1992 saya tak jangka Datuk (Rashid) juga antara yang duduk di kerusi pemilih pelakon.
“Melihat idola di depan mata, bertemu dan bersalam dengan beliau, tiba-tiba saya menggeletar kerana terlalu teruja. Memang tak sangka dapat jumpa tokoh sukan yang menjulang Piala Thomas.
“Ketika zaman sekolah sehingga kolej saya aktif dalam sukan badminton malah dapat mewakili pusat pengajian ke peringkat negeri. Apabila dapat bertemu beliau, seterusnya menggalas wataknya, ini adalah impian yang tertunai,” katanya ketika majlis pelancaran Sentuhan Wira, baru-baru ini.
Akui anak jati Terengganu itu, pada awalnya dia disenaraikan untuk watak lain, namun kemudian dimaklumkan bakal menggalas peranan sebagai Rashid.
“Saya anggap semua ini rezeki apabila dimaklumkan karakter yang akan saya galas nanti adalah Datuk sendiri. Sudah tentu gembira dan gementar bercampur baur kerana ini cabaran besar.
“Walaupun pernah aktif dalam sukan badminton, saya perlu gandakan latihan sebelum masuk set penggambaran yang dijadualkan sekitar awal tahun depan,” ujarnya.
Pelakon yang sebelum ini pernah tampil dalam beberapa drama sepanjang tiga tahun menceburi arena lakonan itu juga sudah memulakan latihan insentif.
“Banyak persediaan yang perlu saya dan pelakon lain lakukan selain memantapkan skil permainan kami kerana filem ini adalah mengenai Rashid serta jaguh badminton negara.
“Antara lain mengekalkan stamina dengan melakukan rutin di gimnasium, disusuli latihan badminton sekurang-kurangnya sejam setiap hari.
“Istimewanya kami juga akan dilatih Rashid sendiri bersama Datuk Cheah Soon Kit,” katanya yang memaklumkan bakal memulakan penggambaran April 2026.
Filem terbitan Victory Pictures itu mengangkat detik emas negara merangkul Piala Thomas pada 1991 juga cetusan dua legenda badminton negara, Rashid dan Soon Kit. – HIBGLAM














