MUAR – Hasrat seorang pekerja pembersihan untuk menyediakan makan malam bertukar tragedi apabila tabung gas memasak meletup sehingga menyebabkan dirinya melecur dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Pagoh Jaya di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.54 malam itu, mangsa lelaki berusia 51 tahun itu dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Nor Alfattah Omar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh digerakkan ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera FRT dan tiba pada pukul 9.04 malam selepas menempuh jarak kira-kira sembilan kilometer.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan perkakas memasak di sebuah rumah.
“Kebakaran tersebut mengakibatkan seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan melecur kira-kira 30 peratus bahagian badan,” katanya.
Nor Alfattah bagaimanapun berkata, api berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
Beliau berkata, operasi kemudian ditamatkan pada pukul 9.35 malam, manakala punca kejadian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE














