PETALING JAYA – Kemelut rumah tangga yang dihadapi pasangan sensasi, Uqasha Senrose dan Kamal Adli dilihat kian meruncing selepas aktres itu mendedahkan menjadi mangsa keganasan domestik.
Sejak pendedahan mengejutkan ramai itu, akaun media sosial Uqasha diserang bertubi-tubi netizen yang menyebelahi Kamal dan menuduh aktres itu sebagai memutar belit cerita serta berpura-pura menangis ketika ditemubual wartawan.
Tidak berdiam diri, Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dilihat kerap membalas komen-komen netizen yang menghentamnya.
“Excuse me. Itu bukan menangis, itu geram pendam dah lama. Kau orang nak apa? Saya nak berpisah! Itu pilihan aku!
“Kenapa tak nak lepaskan? Kalau semua buruk dekat saya. Pertahankan apa lagi kalau saya ni isteri yang jahat. Untuk apa?,” tulisnya membalas tuduhan netizen.
Tidak terhenti di situ, pelakon drama Jika Benar Cinta Itu Buta itu juga turut membidas netizen yang memintanya untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.
“Minta dia (Kamal) untuk ceraikan saya. Insya-Allah hidup saya tenang. Ingat dengan cara macam ni saya akan bahagia dengan dia?,” tulisnya.
Semalam Uqasha mendedahkan berdepan keganasan rumah tangga sehingga mendorongnya memfailkan perceraian terhadap aktor berkenaan.
Dakwanya, penderaan itu berlarutan dalam tempoh empat tahun perkahwinan mereka termasuk ketika hamil sehingga dikurniakan cahaya mata, Hawra Uqaira, 19 bulan.
Terdahulu, keputusan JKP antara kedua-dua keluarga tidak mencapai kata sepakat apabila Kamal masih ingin mempertahankan rumah tangga mereka.
Susulan itu, Hakim Syariah melantik hakam iaitu perunding tara bagi sebutan seterusnya yang dijadualkan pada 12 Januari 2026. – KOSMO! ONLINE














