PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dokumen tular yang mendakwa Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dilantik oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman sebagai entiti rasmi untuk melaksanakan program bantuan pemulangan wang kepada mangsa penipuan.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, penularan dokumen digital bertajuk ‘surat pelantikan’ itu dipercayai direka dan diedarkan bagi tujuan penipuan.
Menurut Rusdi, program bantuan pemulangan wang seperti yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan adalah tidak wujud, dan sebarang dakwaan mengenainya adalah palsu serta mengelirukan orang ramai.
“PDRM ingin menegaskan bahawa proses pemulangan wang kepada mangsa penipuan bukanlah satu bentuk program bantuan.
“Ia sebaliknya merupakan komitmen dan tanggungjawab PDRM yang dilaksanakan tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada, hasil siasatan yang dijalankan, serta keputusan pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Rusdi berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai, menyebarkan atau berurusan dengan pihak yang menawarkan bantuan pemulangan wang atau meminta bayaran, maklumat peribadi, butiran perbankan atau dokumen pengenalan diri dengan menggunakan nama PDRM.
Tambahnya, masyarakat juga disarankan supaya sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi PDRM serta segera melaporkan sebarang maklumat atau aktiviti yang mencurigakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. – KOSMO! ONLINE














