PETALING JAYA – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit bagi dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Jumlah pembayaran keseluruhan mencecah RM10.4 bilion, sekali gus memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit ASB.
ASNB mengekalkan kadar pengagihan dividen sama seperti tahun 2024 dan terus mencatat prestasi mengatasi pasaran apabila jurang daya saing berbanding penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, meningkat kepada 346 mata asas, berbanding purata kadar deposit tetap sebanyak 2.29 peratus.
Prestasi kukuh itu dicapai meskipun pasaran ekuiti awam domestik berdepan persekitaran mencabar, apabila FBM KLCI mencatat pulangan harga -0.3 peratus setakat tahun 2025. Pasaran turut terkesan akibat aliran keluar dana asing dan sentimen pelabur yang berhati-hati.
Bagaimanapun, asas ekonomi negara kekal positif dengan pertumbuhan KDNK 2025 dijangka antara 4.0 hingga 4.8 peratus, kemasukan pelaburan yang memberangsangkan serta pengukuhan nilai ringgit sebanyak 8.7 peratus kepada RM4.09 berbanding dolar AS.
Pengerusi Kumpulan PNB,Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata pengagihan tersebut mencerminkan komitmen berterusan PNB dalam melindungi simpanan rakyat.
“Selama lebih 46 tahun, PNB telah diamanahkan untuk melindungi hasil titik peluh rakyat. Kami berbesar hati dapat mengekalkan pengagihan ASB pada kadar 5.75 sen seunit dengan jumlah pembayaran RM10.4 bilion, iaitu yang tertinggi sejak penubuhan ASB.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB sebanyak RM206.7 bilion, mencerminkan ketahanan serta kekuatan portfolio pelaburan ASB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, PNB turut menyedari cabaran kekurangan simpanan dalam kalangan rakyat Malaysia dan akan mempergiat usaha literasi kewangan bagi memupuk tabiat menabung yang lebih kukuh merentas generasi.
Sementara itu, ASNB turut merekodkan jumlah pengagihan dividen keseluruhan sebanyak RM15.3 bilion bagi tahun 2025, tertinggi pernah dicatat, menjadikan jumlah pengagihan terkumpul sejak penubuhan mencecah RM279 bilion merangkumi kesemua 18 dana unit amanah di bawah pengurusan ASNB.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata prestasi memberangsangkan itu sejajar dengan pelaksanaan tahun kedua Pelan Strategik LEAP-6 PNB.
“Kami mencatat prestasi positif dalam meningkatkan aliran masuk bersih pelanggan, menyampaikan pengagihan pendapatan yang mampan serta memperkukuh modal proprietari PNB, sekali gus meningkatkan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) sebanyak 4.5 peratus kepada RM364 bilion,” katanya.
Beliau berkata, PNB berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran AUM RM400 bilion menjelang 2027, disokong oleh kepercayaan berterusan orang ramai dengan jumlah pemegang akaun unik ASNB kekal stabil pada 13 juta.
Mengulas prospek 2026, beliau berkata PNB akan terus berhati-hati susulan ketidaktentuan pasaran global, namun kekal komited bekerjasama dengan penggubal dasar dan pemain industri bagi memperkukuh daya saing pasaran ekuiti domestik selari dengan kerangka Malaysia Madani.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASB adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2026.
Transaksi bagi ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 27 hingga 31 Disember 2025.
Pemegang unit boleh menyambung semula transaksi melalui semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2026, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB mulai 2 Januari 2026. – KOSMO! ONLINE














