fbpx

‘Ditawar gaji lumayan tapi kena ikut dia balik rumah’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Ezaidi Aziz mendedahkan pernah didekati lelaki kenamaan yang menawarkan wang dalam jumlah besar dengan niat terselindung.

Dedah Ezaidi atau nama lengkapnya Mohamad Ezaidi Abdul Aziz, 30, perkara sebegitu seakan sudah dinormalisasikan dalam industri hiburan, malah ada dalam kalangan individu yang sudah berumah tangga turut melalui pengalaman sama.

“Saya rasa zaman sekarang perkara itu sudah dinormalisasikan, ada yang sudah kahwin pun lalui perkara sama.

“Dari pengalaman saya sendiri, bukan diganggu tapi lebih kepada ditawarkan sesuatu yang lumayan daripada orang ternama dan berduit,” katanya kepada HibGlam pada acara The Power Play Tournament, baru-baru ini.

Pada masa sama, pelakon drama Hijrah Jannah itu mengimbau semula kejadian ketika individu terbabit menawarkan peluang pekerjaan dengan jawatan tinggi.

Namun, dirinya berasa tidak selesa apabila terpaksa mengiringi individu berkenaan ke mana sahaja termasuk diajak pulang ke rumah sehingga mengambil keputusan untuk berhenti.

“Dia menggunakan alasan tawaran berkerja sebab ketika itu saya masih muda lagi. Bila orang tawarkan jawatan tinggi saya fikir peluang untuk cari duit lebih jadi saya pun terima.

“Tapi bila skop pekerjaan rasa macam tak kena. Menyimpang daripada tujuan asal, sampai kena ikut balik rumah.  Cara dia cakap pun nampak lain, mula-mula profesional. ‘

“Lepas terima surat tawaran dan tandatangan, dia terus bagi wang tunai dalam jumlah besar tapi tak sampai beberapa hari saya berhenti, saya anggap sebagai satu pengajaran,” luahnya.

Tambahnya lagi, pendedahan tersebut bukan bertujuan membuka aib sesiapa, sebaliknya sebagai peringatan kepada orang lain agar lebih berhati-hati.

“Bukan nak buka buruk orang, tapi saya takut perkara ini terjadi dekat orang lain pula,” luahnya.

“Sekarang lepas kahwin, cuma kacau-kacau macam itu saja. Saya banyak luangkan masa dengan isteri dan dia selalu ingatkan saya.

“Saya selalu pesan kepada dia, kalau nampak saya lain, tegur.

“Manusia ini hati berubah-ubah, kadang kita cakap lebih-lebih tentang orang lain, tak sedar boleh berbalik pada diri sendiri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN