PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Disember 2025 sempena sambutan Hari Krismas yang akan diraikan Khamis hadapan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun tersebut selaras dengan semangat perpaduan Malaysia Madani selain bertujuan meringankan beban kos perjalanan rakyat, khususnya pengguna kenderaan persendirian yang merancang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga.
Menurut beliau, diskaun tol itu akan diberikan kepada kenderaan kelas 1, termasuk kenderaan kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang, di semua plaza tol di seluruh negara kecuali di plaza tol pintu masuk sempadan antarabangsa.
“Antara yang dikecualikan ialah Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat susulan pelaksanaan diskaun tol berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pemilihan tarikh 23 dan 24 Disember adalah sebahagian daripada inisiatif penyuraian trafik sempena musim perayaan dan cuti sekolah, khususnya bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak perjalanan balik ke kampung dan kembali ke bandar.
“Langkah ini juga bertujuan mengoptimumkan pengoperasian kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di sepanjang lebuh raya,” ujarnya.
Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan kemudahan tersebut dengan merancang perjalanan lebih awal menggunakan aplikasi TuJu Highway Navigation App LLM dan MyPLUS-TTA.
Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan supaya mematuhi jadual perjalanan yang disyorkan serta sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan lalu lintas di sepanjang lebuh raya. – KOSMO! ONLINE














