PETALING JAYA – Kewujudan serta promosi perkhidmatan tertentu yang menggunakan penjenamaan seperti ‘Coach Cerai’, menimbulkan kekeliruan terhadap pendekatan sebenar Islam dalam menangani konflik rumah tangga dan krisis perkahwinan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan memandang serius kemuliaan dan kedudukan tinggi institusi
perkahwinan dalam Islam, yang menuntut agar sebarang naratif, pendekatan atau istilah dikaitkan dengan perceraian ditangani secara berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, saya menasihati semua pihak agar berhati-hati dalam menggunakan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam masyarakat.
“Perceraian tidak wajar dipromosikan sebagai jalan pintas, sebaliknya pasangan yang berdepan krisis rumah tangga perlu digalakkan mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran yang sah dan berautoriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu tular berhubung seorang individu didakwa sebagai ‘Coach Cerai’ dikatakan memberi ‘nasihat’ berkaitan rumah tangga.
Beliau berkata, pasangan suami isteri yang berdepan konflik rumah tangga digalakkan mendapatkan bantuan melalui saluran sah dan berautoriti.
“Antara inisiatif disediakan oleh Agensi Hal Ehwal Agama di bawah saya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu KSKCareCentre (KSKCC) yang menawarkan khidmat kaunseling berstruktur, profesional dan berlandaskan pendekatan syariah bagi membantu pasangan mengenal pasti punca konflik, memperbaiki komunikasi serta mencari penyelesaian yang adil dan seimbang.
“Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan juga menyediakan Kursus Pascaperkahwinan Islam sebagai platform bimbingan berterusan untuk mengukuhkan kefahaman terhadap tanggungjawab dan hikmah perkahwinan dan keharmonian rumah tangga,” katanya.
Zulkifli berkata, dalam masa sama, semua pihak diminta menghormati proses undang-undang, menjaga adab dan etika dalam perbincangan, serta mengelakkan sebarang bentuk spekulasi yang boleh menjejaskan maruah individu dan keharmonian masyarakat.
“Saya bersama Agensi Hal Ehwal Agama sentiasa komited memperkukuh program pendidikan keluarga, kaunseling dan advokasi kekeluargaan selaras dengan prinsip Maqasid Syariah dan aspirasi Malaysia Madani, demi memastikan institusi keluarga kekal sebagai teras utama kesejahteraan ummah dan pembangunan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














