PETALING JAYA – Detik cemas seorang kanak-kanak lelaki terjatuh ke dalam longkang dan terperangkap akibat papan penutup longkang patah berdekatan bangunan Balai Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini, menarik perhatian ramai.
Menerusi perkongsian oleh Azza Ynwa di Facebook, dia sedang menghantar pesanan di Jalan Gurney, Datuk Keramat sebelum terdengar suara kanak-kanak tersebut menangis di kawasan berhampiran bangunan tersebut.
“Cari punya cari, terjumpa seorang budak lelaki di dalam longkang yang dalam. Adik ni terjatuh ke dalam longkang hampir setengah jam akibat papan yang menutup lubang longkang patah. Allahuakbar, nasib baik tidak hujan. Terpaksa menahan orang yang lalu untuk menolong. Alhamdulillah tiada apa-apa kecederaan,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dia turut menzahirkan kebimbangan dan memohon pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera menutup semula lubang longkang tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-ratanya turut menegaskan pihak berkuasa untuk memantau dan longkang dengan lebih serius.
“Ini bukan pertama kali kejadian begini saya dengar berlaku. Yang ini nasib baik abang bantu,” kata Nurul Hanis.
“Harap pihak DBKL ambil berat hal penyelenggaraan kemudahan awam seluruh bandar Kuala Lumpur setiap masa. Bukan hanya apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah untuk acara-acara berkenaan sahaja,” komen Ruslan Kasim.
“Nasib baik longkang tu air tidak laju dan tidak hujan lebat. Saya yang risau tengok budak tu duduk dalam tu,” kata Rozanariza. – KOSMO! ONLINE














