JAKARTA – Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun mati dibaham buaya ketika mandi bersama rakan-rakannya di sebatang sungai di Halmahera Selatan, wilayah Maluku Utara, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan) di Sungai Inggoi, baru-baru ini.
Ketua Polis Halmahera Selatan, Hendra Gunawan berkata, reptilia itu menggigit tubuh mangsa dikenali sebagai Affan sebelum menyeretnya ke bawah air.
“Selepas kejadian itu, dua rakannya bergegas keluar daripada sungai dan pulang ke kampung untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa tetapi sudah terlambat.
“Mangsa maut selepas serangan itu,” kata Hendra.
Rakaman video kejadian menunjukkan reptilia gergasi itu berenang di dalam air sambil menggigit badan mangsa.
Penduduk tempatan berkumpul sambil melihat pasukan penyelamat mengangkat mayat Affan ke atas bot sebelum diserahkan kepada keluarganya.
Ketua Pejabat Operasi Mencari dan Menyelamat Ternate, Iwan Ramdani berkata: “Mayat mangsa diserahkan kepada keluarganya. Semua agensi yang terlibat telah pulang ke unit masing-masing.” – AGENSI














