PETALING JAYA – Bayi perempuan kepada Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, dijadualkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Wan Ahmad Fayshal menerusi satu hantaran di Facebook, semalam, yang turut disertakan gambar anaknya yang telah disiapkan bagi menjalani prosedur berkenaan.
Beliau berkata, anaknya, Wan Nur Firasah, kini berusia kira-kira sebulan setengah dan memerlukan pembedahan tersebut atas nasihat perubatan.
“Insya-Allah hari ini, anakanda kami Wan Nur Firasah akan menjalani pembedahan jantung di IJN.
“Dengan penuh rendah hati, saya memohon doa daripada rakan-rakan dan kenalan agar Allah mempermudahkan segala urusan serta prosedur yang akan dilalui oleh beliau,” katanya.
Beliau turut berharap pembedahan berkenaan berjalan lancar serta anaknya dikurniakan kesembuhan yang sempurna.
“Semoga pembedahan ini berjaya dan Allah mengurniakan kesembuhan sepenuhnya kepada anakanda kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE














