MELAKA – Seorang bapa empat anak dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 13 tahun, dua tahun lalu.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap P. Stephen Nyanamuthu, 55, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Rohatul dalam penghakimannya berkata, keterangan tertuduh hanyalah penafian semata-mata dan tiada yang menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.
“Keterangan semua saksi pembelaan tidak dapat menyangkal kes pendakwaan.
“Setelah membaca hujahan pihak-pihak, mahkamah mendapati tertuduh bersalah di bawah pertuduhan yang dikenakan dan disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun kira-kira pukul 2.40 petang di Jalan Sutera Belia berhampiran sebuah pasar raya di Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 15 Disember 2023.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam M. Shangheetha merayu agar hukuman anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh telah berkahwin dan menangung empat orang anak serta isteri.
Katanya, tertuduh juga hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan tidak tetap, manakala isterinya pemandu van sekolah dengan pendapatan isi rumah sekitar RM2,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon agar hukuman berat diberikan kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah satu kejadian yang tidak boleh diterima masyarakat dan memberikan impak negatif kepada mangsa serta keluarganya.
Shangheetha kemudian memohon agar penangguhan pelaksanaan hukuman dapat diberikan sementara menunggu proses rayuan, namun permohonan itu ditolak oleh mahkamah kerana pihaknya gagal mengemukakan alasan munasabah. – KOSMO! ONLINE














