fbpx
TRIO berbasikal negara, Akmal Nazimi Jusena, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom menyambar pingat emas di Thailand. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Sukan SEA: Trio pecut negara sambar emas, lebur rekod 11 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Skuad berbasikal trek negara mencipta kejutan di Sukan SEA Thailand 2025 apabila merangkul pingat emas acara pecut berpasukan lelaki, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 1 minit 00.520 saat (s), sebentar tadi.

Kayuhan bertenaga di Velodrom Hua Mark itu membolehkan rekod kebangsaan berusia 11 tahun akhirnya diperbaharui, memadam catatan lama 1 minit 02.077s yang dilakukan oleh gandingan legenda Datuk Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Muhammad Edrus Yunus ketika Sukan Asia Incheon 2014.

Lebih manis, pingat emas yang dilakar trio negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Mohamad Akmal Nazimi Jusena itu melengkapkan hari gemilang skuad berbasikal trek dengan mengumpul empat emas dan satu perak.

Pelumba senior negara, Muhammad Fadhil mengakui strategi menyimpan sedikit tenaga pada pusingan awal membuahkan hasil apabila mereka berjaya menumbangkan Thailand di laman sendiri.

“Memang puas hati kerana saya nak beri 100 peratus dan tidak mahu simpan apa-apa lagi kerana ini hari terakhir kem berbasikal.

“Saya agak terkilan semalam kerana tak dapat pingat walaupun Ridwan (keirin) menang emas. Ada rasa kecewa dan perasaan bercampur baur.

“Jadi hari ini saya bertekad tidak mahu menyesal. Saya mahu buat yang terbaik dan hadiahkan emas untuk pasukan serta diri sendiri. Alhamdulillah, kami berjaya lakukannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadhil menyifatkan kejayaan ini sebagai ganjaran lumayan hasil pengorbanan mereka menjalani latihan pusat di Chiang Mai selama lebih sebulan sebagai persiapan menghadapi trek terbuka.

“Kami tahu kelebihan memihak kepada tuan rumah kerana mereka biasa dengan trek terbuka. Walaupun kita berlatih di Cheras (tertutup), namun terima kasih kepada PKBM dan MSN yang aturkan kem latihan di Chiang Mai, ia memberi kelebihan kepada kami menyesuaikan diri.

“Saya bangga dengan pelumba-pelumba muda dalam pasukan ini. Empat emas dan satu perak adalah keputusan yang sangat baik untuk kami,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN